CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, April 20, 2008

SESEKALI


Sesekali dalam tenang
aku perlu melangkah jauh
ke pulau bening
mencari mentari pagi

Sesekali dalam sepi
aku harus berlari sendiri
di pantai putih
mengutip sisa usia
dihempas ombak masa

Kegelapan malam di kota bingar
menambah resah
lalu malamku di sini
menjadi teman sezaman

Akan kuhilangkan segala perit
dipanah dendam semalam
yang bermula
dari sebuah cerita cinta
yang tak bernama

Di pulau sepi inilah
tempat asalku
di sini, di laut biru
di pulau hijau
di pantai putih
kutemui hening alam

Betapa aku merindui
semalm yang kian jauh
betapa aku terus dilukai
pada setiap ruang jasad

Di sini aku berlari mencari mimpi
yang hilang di malam kusam
akan kupulihkan segala resah
akan kuhilangkan segala perit

Langit kian hitam
laut kian geram
dan aku perlu berani merentasi
taufan hati yang bertiup
di setiap detik usia

Kibarkan saja panji-panji kemenanganmu
dalam perang yang tak berhujung ini
aku pasrah pada ketentuan
yang sudah tersurat di dalam sejarah diri.

Jun 2006.

Thursday, April 10, 2008

SUTINAH


senja itu ketika mentari melangkah lesu ke arah kamarnya
dan nelayan Kuala Tatau berdayung menghampiri pantai
membawa balik anugerah dari laut
kau dan aku bersama menghias pantai
dengan warna pelangi dan sebuah mimpi
bersama kita menulis lirik melodi syahdu
bersama kita membicarakan tentang sepasang merpati putih
yang mahu menjelajahi kamar malam dengan seribu mimpi indah

Tentu kau masih ingat
tentang sebuah potret yang kita lukiskan bersama
kini sudah pudar warnanya

masa berlari melintasi kita
dua dekad yang telah dihabiskan
bersama dengan sebuah harapan yang sudah tiada
api yang kita nyalakan di tepi pantai
sudah lama ditelan ombak
anak-anak nelayan yang kita didik di sekolah rendah
kini menjadi seorang ayah yang mengharungi laut
senja yang kita nikmati bersama
sudah lama berlabuh di kamar malam

kukira penantian ini telah melepasi musim
merpati yang pulang tidak membawa sebarang berita
tentang malam-malam yang kau lalui
Sutinah...di manakah tempat pertapaanmu
bersama puteri Santubong
atau berselindung di sebalik potret Monalisa

Percayalah..cerita senja di Kuala Tatau yang kita nukilkan
masih menjadi kenangan dalam hidup ini
walaupun masa untuk pertemuan terlalu jauh untuk kita kejari.

Kuching
25 Julai 1991

(puisi yang saya tulis sekitar tahun 1991 ini dipetik dari Antologi ' SATU PERASMIAN' yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dalam tahun 1992)